Asal usul Tongkang Pechah

                                         Image: anggerikcinta-asnie.blogspot

JIKA ke bandar Batu Pahat melalui Jalan Parit Jalil atau Jalan Kolam Air, kita akan menemui pekan Tongkang Pechah.

Walaupun nama pekan tersebut pelik dan unik, namun penduduk asal kawasan terbabit bangga dengan nama berkenaan, di mana ia menunjukkan kekuatan dan kegagahan mereka ketika zaman Jepun serta komunis dahulu.

Lari dari Banjar Masin kerana tidak suka berperang

Kawasan yang dahulunya dikenali sebagai Lorong Haji Mohd Yassin dihuni satu kelompok etnik Banjar yang berasal dari Banjar Masin, Kalimantan.

Etnik berkenaan yang gagah berlawan merupakan keturunan Raja yang digelar Banjar Jatuh di mana mereka melarikan diri dari Banjar Masin kerana tidak suka berperang.
Menurut generasi ke-25 keturunan Banjar Jatuh, Zaini Chorong, 53, kegagahan keturunannya itu diceritakan secara lisan secara turun-temurun oleh mereka yang terdahulu.

Katanya, ketika zaman pemerintahan Jepun sekitar 1941, penjajah sukar menembusi kawasan berkenaan sedangkan tempat lain di daerah ini berjaya dikuasai mereka.

“Oleh kerana dendam yang tinggi serta dasar Jepun ketika itu yang mengamalkan pecah dan perintah, mereka sempat mengebom sebuah tongkang yang membawa bijih timah dari Sri Medan ke pusat pengumpulan di Yong Peng.

“Dengan mengebom tongkang berkenaan, tongkang terbabit terbelah dua...ia dilakukan dengan harapan penduduk Banjar di situ takut dengan serangan terbabit, namun ianya meleset.

“Hanya itu sahajalah serangan terbesar yang mampu dilakukan Jepun sehingga mereka menyerah diri beberapa tahun kemudian di Lorong Haji Mohd Yassin ini, yang kemudian namanya ditukar kepada Tongkang Pechah," katanya.

Menurutnya, itu lambang kegagahan etnik Banjar yang menguasai kawasan ini, yang mana mereka telah berjuang bermati-matian menentang Jepun kerana mereka tidak suka bergaduh atau berperang, tetapi jika hak mereka diusik, buruk akibatnya.

Zaini berkata, kejadian tongkang dibom berlaku di Sungai Simpang Kanan berhampiran Bindu di mana ketika itu pekan Tongkang Pechah berhampiran dengan sungai.

Katanya, disebabkan perubahan dan peredaran zaman, pekan berkenaan dipindahkan ke tempat sedia ada sekarang ini, kerana jalan air sudah tidak lagi digunakan selain pembinaan jalan raya mula dilaksanakan.

“Sehingga kini, kawasan sekitar Tongkang Pechah hampir 80 peratus didiami komuniti berketurunan Banjar, kecuali kaum Cina yang dibawa masuk kerajaan British.

“Jika dilihat bermula dari Kampung Parit Jabong sekitar Jalan Bindu sehinggalah Kampung Mohd Nor, hampir keseluruhan penduduk berketurunan Banjar,” katanya.

Suka sembunyi identiti, kegagahan

Masyarakat Banjar suka menyembunyikan identiti dan kegagahan mereka, di mana mereka lebih suka hidup secara aman dalam masyarakat daripada bergaduh.

Menurutnya, perkara berkenaan berlaku setelah mereka tidak mahu sejarah lampau yang berlaku di Banjar Masin berulang, iaitu perebutan takhta oleh Sultan Thamidullah dan Pangeran Amir.

Katanya, sebahagian mereka yang tidak suka berperang melarikan diri ke Tongkal dan Tembilahan, Sumatera; Johor, Selangor, Perak serta Brunei yang mana di Perak dan Brunei mereka menjadi pemerintah iaitu Sultan sehinggalah sekarang.

“Dalam pertempuran berkenaan yang berlanjutan sehingga beberapa tahun, telah mengorbankan banyak nyawa dan mereka yang tidak suka bergaduh melarikan diri ke beberapa tempat.

“Mereka yang melarikan diri membuka penempatan baharu dan ada sebahagiannya menjadi pemerintah. dan ada sesetengah cerita mereka yang tinggal di Kepulauan Sulu, Filipina juga berketurunan Banjar.

“Dan mereka yang tinggal di Banjar Masin meneruskan membina semula kerajaan yang telah jatuh itu, di mana sekarang ini kawasan berkenaan menjadi antara bandar yang paling maju di Indonesia,” katanya.

Sumber

Comments

Popular Posts