Sejarah SM Tongkang Pechah... sekolah aku dulu, hehehe


Sekolah Kebangsaan Tongkang Pechah, Batu Pahat telah dibina pada tahun 1967 dengan perbelanjaan atau kos berjumlah RM 360,000.00 dan mula beroperasi pada 1 Mei 1969. Ia terletak 12 kilometer dari Bandar Batu Pahat / Penggaram. Penubuhan sekolah ini adalah atas desakan penduduk Kampung Seri Medan yang mahukan sebuah sekolah menengah di kawasannya. Sebelum ini tidak terdapat sekolah menengah di kawasan ini. Beberapa tokoh tempatan telah berusaha ke arah penubuhannya khasnya Tun Dr. Awang bin Hassan (Wakil Parlimen Muar Selatan), Dato' Haji Mohd Noor bin Jumaat (Penghulu Mukim IV) dan Syed Esa bin Syed Alwi (Wakil Parlimen Batu Pahat).

Tapak pembinaan sekolah ini yang luasnya 22 ekar telah dibeli daripada seorang peniaga Cina bernama Tan Ya berhampiran persimpangan ke Seri Medan dan Parit Sulong. Nama sekolah diberi berasaskan peristiwa tongkang yang sarat membawa muatan bijih timah dari Jambi, Sumatera telah pecah di kuala sungai yang kemudiaannya dikenali sebagai Sungai Tongkang Pechah.


Bangunan terawal mengandungi 12 bilik darjah, bilik Ekonomi Rumah Tangga (ERT), Pejabat Pentadbiran dan bilik guru. Bilangan murid pada ketika itu ialah 169 orang yang berasal dari kawasan sekitar Pekan Tongkang Pechah, Kampunag Parit Lahak, Kampung Parit Ju, Kampung Parit Belemam, Kampung Bindu dan Kampung Mohd Noor.


Pada tahun 1974, SMK Tongkang Pechah telah mendapat sebuah bangunan tambahan dan pada tahun 1988 pula ia mendapat dua buah bangunan tambahan. Pada tahun 1993, bilangan pelajarnya berjumlah 936 orang dan persekolahan dilaksanakan pada sesi pagi sahaja.


Pada tahun 1995, persekolahan dilaksanakan dalam dua sesi kerana jumlah pelajarnya yang terus meningkat. Pada tahun 2000, sekolah ini telah naik taraf dengan bermulanya Tingkatan Enam aliran Sains dan juga aliran Sastera. Pada peringkat permulaan ini jumlah pelajar tingkatan enam adalah 41 orang.


Pelajar aliran Melayu sekolah ini mula menduduki peperiksaan SRP (Sijil Rendah Pelajaran) pada tahun 1970, manakala pelajar aliran Inggeris pula menduduki peperiksaan LCE (Lower Certificate of Education) pada tahun 1972.


Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) pula ditubuhkan pada tahun 1974 bagi mengeratkan hubungan dan kerjasama antara guru dan sekolah dengan ibu bapa dan penjaga pelajar. Pada tahun 1982, Tingkatan Empat aliran Sastera telah dibuka di sekolah ini dan mereka menduduki peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) pada tahun 1983.


Tingkatan Empat aliran Sains pula dibuka di sekolah ini pada tahun 1989 dan menduduki peperiksaan SPM pada tahun 1990 dengan kelulusan 100


Pada tahun 2000, KAA (Kelas Aliran Agama) diperkenalkan di sekolah ini atas inisiatif sekolah sendiri dan mulai tahun 2002, pemilihan pelajar untuk ke KAA dilakukan oleh Pejabat Pendidikan Daerah dengan syarat calon lulus sekurang-kurangnya mendapat 3A dalam UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah)


Pada tahun 2001, sekolah ini mendapat sebuah makmal komputer dan mula beroperasi pada tahun 2003. Pada tahun 2002, sekolah ini mendapat tiga buah bangunan tambahan baru yang mengandungi 6 buah makmal Sains, Pusat Sumber Sekolah, Pejabat Guru, Pejabat Pentadbiran dan 16 buah bilik darjah P&P (Pengajaran dan Pembelajaran). Bangunan tambahan baru ini juga dilengkapi banyak kemudahan alat penghawa dingin.


Sekarang, SMK Tongkang Pechah mempunyai 88 tenaga pengajar, 17 staf sokongan bukan guru (10 orang bertugas di makmal-makmal Sains dan 7 orang bertugas di pejabat sekolah), 7 orang pekerja pembersihan swasta dan 3 orang pengawal keselamatan swasta. Bilangan muridnya kini berjumlah 1430 orang. Sekolah-sekolah sumber terdiri daripada sekolah-sekolah yang berhampiran seperti:


SK Parit Bilal

SK Seri Telok,

SK Bindu

SK Bukit

SK Seri Binjai

Sekolah Rendah Agama Bersepadu

SJK(C) Buloh

SJK(C) Chern Hwa

SJK(C) Chung Hwa Seri Medan

SJK(C) Li Chun

SJK(C) Sulong

SJK(C) Tongkang


SMK Tongkang Pechah telah menawarkan banyak pilihan mata pelajaran kepada pelajar-pelajar menengah atas (Tingkatan 4, 5 dan 6). Aliran Sains dan Teknologi diberi keutamaan oleh sekolah ini. Sekolah ini yang telah berubah namanya kepada SMK Tunku Putra pada Disember 2005. Sekolah ini telah diterajui oleh beberapa orang pengetua yang berpengalaman dan berwibawa iaitu:


* Johar bin Abu Bakar Jun 1969 - Dis 1979:

* Yusop bin Karto 1 Jan 1980 - 31 Ogos 1982

* Karbaze Singh 1 Sept 1982 - 30 Nov 1983

* Lim Yong Siew 1 Dis 1983 - 28 Feb 1985

* Haji Alias bin Abdul Rahman 1 Mac 1985 - 15 Sept

* Haji Baharaldin bin Samian 16 Sept 1988 - 28 Feb 19897

* Haji Ahmad bin Wagiman 1 Mac 1989 - 15 Feb 1993

* Haji Mohd Seni bin Hussin 16 Feb 1993 - 31 Jan 1995

* Haji Umar bin Kamari 1 Feb 1995 - 15 Dis 1998

* Hajah Hamdiah binti Husain 16 Dis 1998 - 14 Mei 2004

* Haji Marsono bin Legino 16 Mei 2004 - 30 April 2006

* Haji Masduki Bin Hj Shari 01 mei 2006 - Kini


Sumber:

Comments

Popular Posts