" ……the need for intelligence to support the government foreign, defense and trade policies has, if anything, increased over recent year"
- Jim Bolger, New Zealand Prime Minister
PENGERTIAN -
Menurut World Book Encyclopedia 2002 Edition, perisikan membawa maksud penggunaan perisik, merisik atau aktiviti sesuatu negara yang menggunakan perisik untuk mendapatkan rahsia sesuatu negara lain bagi tujuan ketenteraan, politik atau rahsia. Menurut Kamus Collins International Dictionary, istilah risikan atau intelligence membawa maksud keupayaan untuk memahami dan kebolehan untuk mengagak dan mendalami sesuatu pekara atau subjek berbentuk ketenteraan, tentang musuh, pengintipan atau sesuatu grup yang mengumpul dan mengambil tindakan susulan terhadap maklumat tersebut.
SEJARAH -
Tidak banyak yang mengetahui bahawa bidang perisikan itu lebih lama sejarahnya daripada kebanyakan peperangan. Sejarah merakamkan perisik yang pertama mungkin dari kalangan penduduk pra-sejarah yang cuba mengetahui tentang teknik memburu yang diamalkan oleh tetangganya. Sun Tzu, seorang jeneral dan ahli strategi China menulis dalam bukunya, "Art of War" sebagai, "mengenali musuh seperti anda mengenali diri sendiri, nescaya kita tidak akan tewas dalam petempuran" dan "angkatan tentera tanpa agen perisik samalah seperti manusia tanpa mata dan telinga". Di dalam sejarah islam, contohnya, Nabi Mohammad SAW juga telah menggunakan taktik perisikan dalam operasi tenteranya dalam misi mengembangkan agama Islam. Di dalam buku Jihad Peperangan Rasulullah karya Ahmad Adnan Fadzil, terbitan Pustaka Syuhadah, ada menceritakan tentang sejarah operasi risikan yang dilakukan oleh Rasulullah seperti kira-kira dua bulan sebelum peperangan Badar, pihak Islam telah menghantar dua belas orang Muhajirin yang diketuai oleh Abdullah bin Jahsyi ke Makah untuk meninjau persiapan dan kekuatan kaum Quraisy di sana.
Begitu juga apabila Perang Badar meletus, baginda melantik Ali bin Abi Talib, Zubair bin Awwam dan Saad bin Abi Waqas sebagai pegawai
perisikan tentera baginda. Sementara diawal tamadun manusia, Frederickthe Great dari Prussia telah dinobatkan sebagai pemimpin yang berjaya Menyusun organisasi perisikanya dengan baik. Semasa perang revolusi di Amerika(1775-1783), George Washington Berjaya mengujudkan rangkaian perisikan yang mantap bagi mendapatkan maklumat-maklumat yang penting dan semasa perang saudara di Amerika (1861-1865), pihak tentera Union telah melantik Allan Pinkerton sebagai pengarah pasukan perisikan dan keselamatan bagi merisik kekuatan dan kelemahan pihak musuh.
MAKLUMAT PERISIKAN -
Menurut Shaharudin Ali dalam artikelnya bertajuk "peranan perisikan dalam keselamatan dan pertahanan negara", Perajurit, Sept. '95 Jld3 antara maklumat-maklumat yang penting untuk dicari oleh para perisik adalah seperti berikut:
1. Apakah niat dan rancangan musuh
2. Mengenalpasti kebolehan, persiapan dan kecekapan musuh
3. Maklumat strategik berbentuk keselamatan, politik, sosial, ekonomi dan mungkin hal yang bersangkutan dengan agama
4. Apakah pegangan atau polisi yang hendak dinasihatkan kepada pembuat-pembuat dasar dan pemimpin negara
PERISIK -
Semua maklumat yang ingin dirisik oleh sesebuah organisasi itu akan dilakukan oleh se-seorang ahli yang mahir yang dikenali sebagai perisik.
Apakah perisik itu ? Menurut Collins New Germs Dictionary, mereka adalah sesaorang yang memasuki kawasan merbahaya untuk memerhati dan melapurkan kembali kepada ketuanya. Sementara menurut World Book Encyclopedia 2002 mendefinasikan perisik adalah mereka yang cuba mencari maklumat, terutama mengenai pihak musuh dengan cara penyamaran.
PERKHIDMATAN PERISIKAN -
Ia merupakan satu otganisasi yang tugas utamanya ialah mengumpul dan mencari maklumat untuk di sampaikan kepada ketua politik (President atau Perdana Menteri) atau kepada ketua pasukan bersenjata. Mereka ini akan mentafsir maklumat-maklumat tersebut untuk dijadikan polisi untuk membina dasar pertahanan, peperangan atau dasar diplomatik negara terbabit.
Secara amnya terdapat dua jenis perisikan yang utama iaitu risikan luaran dan risikan dalaman.
a) Risikan Luaran
Risikan luaran ialah satu proses pengumpulan data atau maklumat negara lain untuk dijadikan satu rujukan oleh pihak pengkaji. Rujukan ini amat penting kepada setiap penggubal dasar dan pemerintah sesebuah negara. Bekas President Israel, David Ben Gurion telah mengeluarkan satu arahan rasmi kepada Agensi Perisikan Israel (MOSSAD) yang berbunyi.."For our state which since its creation has been under siege by its enemies. Intelligent constitutes the first line of defense ... we must learn well how to recognise what is going on around us."
Organisasi risikan luaran mempunyai pelbagai cara untuk melaksanakan objektif mereka. Di antaranya ialah dari cara risikan terang-terangan (overt) atau risikan tersembunyi (covert)
a.1) Risikan terang-terangan (overt)
Merujuk artikel "Perisikan & Tindakan yang Terlindung" di Perajurit Mei 1997 Jld 5 mengatakan sesebuah organisasi perisikan menggunakan semua sumber terbuka dalam mendapatkan maklumat yang diperlukan. Ia termasuklah kumpulan teknikal, perdagangan, penerbitan, berita ataupun sumber internet. Sumber standard yang biasanya dilakukan adalah melalui wakil perdagangan, wartawan, pemberita, para pengkaji atau sejarawan, dan para pelancong. Malah buku panduan perlancongan juga turut digunakan sebagai sumber rujukan oleh perisikan tentera British ketika kempen di Galipoli pada perang dunia yang pertama. (rujukan - Operasi Pendaratan Amfibia Galipoli dan Inchon, Perajurit Ogos '01 Jilid 10, m/surat 19)
a.2) Risikan tersembunyi (covert)
Perisikan tersembunyi atau sulit ini mempunyai pelbagai cara atau method untuk dilaksanakan, bergantung kepada masa, situasi dan darjah kerahsiannya. Tetapi ianya dapat di kelaskan sebagai HUMINT, Pengintipan setelit, COMINT dan Peninjauan Udara.
1) HUMINT -
Ia ditafsirkan sebagai Human Intelligence, penggunaan asset insani di dalam operasi perisikan merupakan satu cara atau method yang tertua sekali dalam sejarah perisikan. Sejak dari zaman dahulu, terutama di zaman kenabian Nabi Mohammad SAW hingga ke krisis perang Teluk ke dua, ia masih di pakai dan tetap releven. Merujuk buku bertajuk "The Invisible Government" karya David Wise dan Thomas Ross, menjelang tahun 1964 sahaja, bilangan kakitangan pertubuhan perisikan di Amerika Syarikat telah meningkat sehingga 200,000 petugas dan belanjawannya menjangkau berpuluh billion US dollar setahun Antara perisik terawal yang diketahui ialah Mata Hari (1876-1917), seorang penari berbangsa Belanda yang menjadi perisik kepada tentera Jerman semasa perang dunia pertama. Dia akhirnya dijatuhkan hukuman mati oleh pihak Perancis. Perisik insani ini kerap menjalankan kegiatan mereka dengan menggunakan taktik penyamaran dan berlindung di atas nama status diplomatik. Terry White, menulis dalam bukunya bertajuk "Fighting Skills of the SAS & Special Force", antara lain katanya, perisik selalunya dikelas kan kepada dua jenis status iaitu status sah dan status tidak sah. Bagi status sah, perisik selalunya berlindung di sebalik jawatan diplomatik seperti attache ketenteraan, pegawai perdagangan, ataupun sebagai pelancung. Viktor Suvorov, seorang perisik Russia yang berpaling tadah pada tahun 70an memberitahu bahawa di kemuncak peperangan dingin, hampir 40% petugas di kedutaan Soviet merupakan kakitangan perisikan KGB. Status pelancong juga kerap digunakan oleh para perisik untuk menutup kegiatan mereka, ini terbukti pada tahun 1961, seorang rakyat Amerika, Bernama Marvin W Makinen yang dikatakan melancong di Rusia telah di tahan oleh pihak berkuasa di sana kerana dituduh mengambil gambar instalasi tentera. Beliau mengaku sebagai pengintip apabila di penjarakan di sana. Bagi status tidak sah pula nama Konon Trofimovich Molody sering di sebut-sebut, dilahirkan di Moscow, kemudiannya memasuki Canada secara haram dengan menggunakan dokumen rakyat Canada yang telah mati iaitu Gordon Arnold Lonsdale, dengan menggunakan identiti Lonsdale, beliau telah ke Britain dan menjalankan perniagaan di sana menggunakan modal yang disediakan oleh pihak KGB. Di sana, beliau telah merekrut dua rakyat tempatan untuk menjadi penyampai maklumat kepadanya. Selain Molody di Britain, Rudolf Abel pula menjalankan kegiatan yang sama di Amerika Syarikat dengan menyamar sebagai jurufoto artis bernama Emil Goldfus. Sementara itu pihak MOSSAD Israel pula boleh berbangga dengan perisiknya, Eli Cohen yang berjaya menduduki barisan teratas di dalam kerajaan Syria pada tahun 60an tanpa dikesan.
2) Pengintipan setelit -
Di zaman yang moden ini, perisikan menggunakan setelit telah menjadi salah satu method yang sering digunakan. memetik kata pakar ketenteraan di GlobalSecurity.org , John Pike, "They are not going to conduct any operations without using satellite imagery to understand where every house and hill is in the area" (rujukan- The Star Oct.16,'01) Amerika Syarikat mula mengorbitkan setelit perisikannya di ruang angkasa Soviet sejak tahun 1961 lagi. Setahun kemudian, menggunakan sistem setelit COSMOS, pihak Soviet pula bertindak balas terhadap Amerika. Melihat perkembangan itu, pihak US Air Force telah mengaktifkan program yang dikenali sebagai SAINT (Satellite Intercept) pada tahun 1967. Pihak Soviet juga menuduh Amerika menggunakan setelit cuacanya untuk tujua ketenteraan, ini di nafikan oleh James Webb, pengarah NASA ketika itu.Dari tahun 1984 hingga 1999, sebanyak 64 buah setelit ketenteraan telah dilancarkan oleh pihak Amerika. di
antaranya ialah Lacrosse/Vega high - resolution satellite. Ia telah dilancarkan pada Aug. 17, 2000 oleh roket Titan. Ia amat berguna untuk tugas intipan walaupun dikala kabus atau awan tebal. Selain itu, sebuah lagi setelit yang dilancarkan ialah KeyHole electro - optical imaging satellite. Versi terbaru dipercayai telah dilancarkan pada Oct.5, 2000 oleh roket Titan 4B dari stesyen Vandenberg di California. Kelebihan setelit ini ialah kebolehannya mengambil gambar dengan jelas walaupun objek yang sekecil empat inci. Pihak Soviet juga tidak ketinggalan dalam perlumbaan setelit ini, beberapa siri setelit pengintipan telah dilancarkan oleh mereka seperti Siri H untuk tujuan electro-optical imaging, Siri L untuk radar imaging satellite dan Siri F untuk perisikan eletronik. Selain itu Soviet juga mengoperasikan siri RORSAT (radar-equipped ocean recon satellite) dan EORSAT (ELINT ocean recon satellite) bagi tujuan intipan di laut. Satelit RORSAT pertama iaitu COSMOS 198 telah dilancarkan pada 27 Disember 1967. Ia membawa pulse-radar yang berupaya mengesan formasi kapal yang belayar di lautan. Selain kuasa-kuasa besar, negara lain juga tidak ketinggalan untuk membina setelit pengintipan mereka sendiri. Sebagai contoh, Singapura. Menurut lapuran Janes Defense Weekly July5, 2000, pihak Singapura dan Israel telah mengadakan kerjasama untuk memajukan sistem setelit perisikan yang dijangka menelan belanja sebanyak $ USD 1 Billion.
3) COMINT -
Memetik buku Betrayal at Pearl Harbour, karya James Rusbridger, COMINT membawa erti Communication Intelligence, iaitu proses pengumpulan, pemintasan, pentafsiran dan analisa sesuatu komunikasi luar yang dihantar dengan apa cara sekalipun. Proses ini boleh di jalankan menggunakan kaedah seperti radar, wire-tapping, bugging atau pintasan gelombang. Sejarah membuktikan cara ini telah lama diguna-pakai. Sebagai contoh, pada tahun 1936 sebuah stesyen pintasan gelombang telah dibina oleh pihak Inggeris di Pulau Stonecutter di Hong Kong. Stesyen ini dapat memintas sebarang gelombang komunikasi yang dibuat drp negara Jepun. Tidak lama selepas itu sebuah lagi stesyen serupa itu dibina di Singapura. Begitu juga dengan pihak Amerika Syarikat, mereka juga telah mempunyai stesyen pemintasan komunikasi di Turki sejak 1958 yang di tadbir oleh pihak perisikan mereka.Selain di Turki mereka juga mempunyai stesyen seperti itu di Pine Gap; Australia, Bad Aibling; di Jerman, dan Menwith Hill di Yorkshire, England. John Collins dalam buku beliau bertajuk "Military Geography for Professional & the Public" mengatakan pihak perisikan Amerika melakukan kegiatan pintasan gelombang di stesyen mereka seperti di Pengkalan Udara San Vito di Brindisi Itali, Iraklion di Greek dan lokasi Utama mereka ialah di Turki, satu-satunya negara pakatan NATO yang mempunyai persempadanan dengan Soviet. Peralatan canggih yang ditempatkan di Karamursel, Turki bertujuan untuk memerhati segala pergerakan udara dan laut Soviet di perairan Laut Hitam antara Rusia dan Bulgaria.Di Diyarbakir pula alatan pintasan telah dipasang untuk mengutip sebarang isyarat gelombang yang dipancarkan dari sekitar Caucasus dan Transcaucasus. Sebuah stesyen siesmograpi telah dibina di bandar Belbasi bagi mengesan sebarang aktiviti ujian nuklear Bawah tanah Soviet. Selain daripada method pintasan gelombang, pihak perisikan Amerika juga pernah menggunakan cara wire-tapping untuk tujuan perisikan. Salah satu operasi mereka yang terbesar ialah Operation Gold yang dilancarkan pada tahun 50an. Objektif operasi ialah membina terowong bawah tanah sepanjang 500 kaki merentasi sektor Jerman Timur untuk memintas talian kabel telefon di markas perisikan tentera Soviet di Karlshorst. Selain daripada Amerika dan Britian, satu lagi kuasa besar yang turut mengaplikasikan method ini ialah Jerman. Kejayaan Jerman di bawah Jeneral Rommel semasa kempen penaklukan Afrika Utara banyak dibantu oleh kewujudan sebuah unit COMINT yang dikenali sebagai Unit 621 Funkaufklarung (Radio Inteligence). Unit ini banyak menyediakan lapuran tepat tentang kedudukan musuh dan rancangan mereka bagi dijadikan panduan untuk Jeneral Rommel dan African Korps nya bertindak balas.
4) Peninjauan Udara -
Method ini sering menggunakan pesawat udara yang berkebolehan terbang tinggi dan dapat mengambil gambar yang jelas. Antaranya pesawat U2, sehingga tahun 1960an pesawat ini kerap mengadakan penerbangan risikan di ruang angkasa Soviet hinnga sebuah U2 yang dipandu oleh Francis Gary Power ditembak jatuh di ruang angkasa Sverdlovsk pada May 1, 1960. Semasa krisis peluru berpandu di Cuba, U2 sekali lagi memainkan peranan yang penting. Sewaktu Operasi Desert Shield/Storm sebanyak 12 buah U2R/TR1 telah gunakan. Apabila perkhidmatan U2 ditamatkan pada 1960, segala tugas risikan udara telah diambil alih oleh pesawat SR71 Blackbird. SR71 dikatakan pesawat yang terlaju dan boleh membuat penerbangan tertinggi di dunia (Rujuk- Encyclopedia of Modern US Military Weapon by Colonel TM Laur & Steven L Llanso). SR71 telah ditamatkan perkhidmatannya pada Oktober 1989. Tetapi di atas desakan congress Amerika, tiga buah SR71 telah diaktifkan kembali dan diletakkan di Bawah pengawasan US Air Force. Selain dari SR71 pihak Amerika memiliki pesawat-pesawat risikan seperti EC-135/RC-135 Looking Glass bagi tujuan risikan ELINT dan Command Post. Tertembak jatuhnya pesawat penumpang Boeing 747 Korean Air Lines (KAL007) oleh pasukan pertahan udara Russia pada tahun 1989 adalah gara-gara kewujudan pesawat pengintip RC135 milik Amerika di kawasan berhampiran. Perlu diambil perhatian bahawa pesawat RC 135 adalah versi tentera untuk Boeing 707 awam, oleh itu bentuk dan keadaannya hampir sama dengan pesawat awam milik Korean Air Lines itu.Serangan itu mengorbankan kesemua penumpang dan anak kapal pesawat yang malang itu. Jika pesawat tempur lain dilengkapi dengan pelbagai jenis senjata, bagi pesawat tinjauan udara, senjata utama mereka ialah system kamera revolusi tinggi. Terdapat pelbagai jenis kamera yang mereka gunakan, antaranya:
a) Gun Camera - kamera yang dipasang pada pesawat tempur seperti F5RF, F4, F14, F16
b) Strike Camera - Kamera yang dipasang di muncung pesawat tempur bagi merakam keadaan sasaran sebelum dan sesudah serangan.
c) Trimetrogon Camera - Sistem tiga kamera yang digunakan untuk merakam objek sasaran dari tiga sisi
d) Panoramic Camera - Kamera yang dapat merakam dua batas pandangan cakrawala
e) Multi-Spectral Sensor Camera - Kamera udara yang mempunyai kemampuan pelbagai untuk tugasan tinjauan deria berganda
b) Risikan Dalaman -
Risikan dalaman atau lebih senonim dengan panggilan penampan-risikan atau counter-intelligence. Menurut World Book Encyclopedia versi 2002, counter-intelligence bermaksud "sistem atau aktiviti yang menampan segala bentuk intipan atau pengintip luar yang cuba melakukan aktiviti pengintipan di dalam negara. Penampan-risikan ini selalunya dilaksanakan oleh sesuatu unit atau cawangan di dalam pasukan keselamatan." Secara amnya segala aktiviti tampanan-risikan disesebuah buah negara akan diserahkan kepada satu unit atau cawangan yang khusus. Sebagai contoh, di Amerika Syarikat aktiviti ini diseliakan oleh pihak FBI (Federal Investigation Bureau). Sementara MI5 menjadi ajensi Utama penampan-risikan di Britain. Negara israel pula menyerahkan segala tugas itu kepada pasukan Sherut Bitachon Klali (SHIN BETH).Tidak ketinggalan bagi Malaysia, segala operasi melibatkan keselamatan dalam negara ditugaskan kepada Cawangan Khas, Polis DiRaja Malaysia. Cawangan Khas PDRM ditubuhkan pada bulan Ogos 1950. Tugas utamanya ketika itu ialah menjalankan operasi risikan ke atas Parti Komunis Malaya (PKM). Selain risikan, Cawangan Khas juga ditugaskan untuk melakukan Tindakan anti-subversif. Timbalan Pengarah pasukan MI5 ketika itu, Jack B. Morton telah ditugaskan untuk merancang pembentukkannya sementara Guy C Madoc telah dilantik menjadi pengarah
perisikan. Memetik artikel "Perisikan - Imbasan Peranan dan Kepentingan Pengumpulan maklumat" karya Mohd. Zaki Mohd Salleh terbitan Tempur Ogos 2003, Jilid 2, menyenaraikan tugas-tugas Cawangan Khas ketika itu, antaranya:
1) Membekalkan kerajaan dengan maklumat perisikan politik yang meluas bidangnya, maklumat keselamatan dan maklumat bagi tindak-balas perisikan bukan hanya terhadap ancaman semasa tetapi juga ancaman jangka panjang (threat assessment)
2) Membekalkan pasukan keselamatan dengan maklumat berhubung bagaimana untuk merancang operasi-operasi memerangi PKM
Data lengkap tentang operasi-operasi Cawangan Khas ketika memerangi PKM boleh didapati dengan membaca buku karya Dato' Yuen Yuet Leng yang bertajuk "Operation Ginger" terbitan Vinpress. Antara yang dicatatkan oleh beliau tentang operasi-operasi sulit pihak Cawangan Khas bagi menjejak dan memberkas ahli-ahli serta para pemerintah tertinggi PKM seperti Chong Chor dan lain-lain. Dengan usaha gigih pihak Cawangan Khas, dari Januari '58 sehingga Mac '59, sebanyak 47 orang PKM dapat dibunuh dan 112 orang diberkas atau menyerah diri. Amerika Syarikat juga tidak lari dari anasir subversif, pada tahun 1963 sahaja 20% dari 650,000 kes yang disiasat oleh pihak FBI merupakan kes-kes intipan pihak asing, terutama dari negara-negara pakatan Warsaw ke atas negara Amerika. Memetik kata J. Edgar Hoover, pengarah FBI ketika itu, " no phase of American activity has be immune to Soviet-bloc intelligence attempts."
SENARAI RUJUKAN
1. Wise, David, and Thomas B. Ross. "The Invisible Government".Vintage Books; New York, 1964
2. Yuen Yuet Leng. "Operation Ginger". Vinpress; Kuala Lumpur, 1998
3. Rusbridger, James, and Eric Nave. "Betrayal at Pearl Harbour". Summit Books; New York, 1991
4. White, Terry. "Fighting Skill of the SAS and Special Forces". Magpie Book; London, 1997
5. Laur, M.Timothy, Colonel, and Steven L.Llanso. "Encyclopedia of Modern US Military Weapons". Berkley Books; New York, 1998
6. Collins, M.John. "Military Geography for Professionals and the Public". Brassey's; Washington, 1998
7. Fadzil, Ahmad Adnan. "Jihad Peperangan Rasulullah SAW". Pustaka Syuhada; Kuala Lumpur, 2001
8. Mohd Salleh, Mohd Zaki. "Perisikan - Imbasan Peranan dan Kepentingan Pengumpulan Maklumat" Tempur Ogos 2003 Jld II; 17-24
9. Nasarudin, Sham Huzaimi. "Perisikan Isyarat Elektronik - Elemen utama dalam Perang Elektronik" Tempur Sept 2002 Jld I; 49-53
10.Kadir, A Rauf. "Pengintipan dari Udara - Tugas berat yang mencabar" Perajurit Feb 1998 Jld VI; 12-15
11. Dapit, Mohd Zaharudin. "CIA - Anggotanya di seluruh dunia" Perajurit Okt 2003; 25-29
12."Operasi Pendaratan Amfibia, Galipoli dan Inchon" Perajurit Ogos 2001 Jld X; 17-24
13.Kadir, A Rauf. "Peperangan Perisikan dan Elektronik - Bagaimana Peranan AS di Teluk" Perajurit Ogos 1998 Jld VI; 18-21
14."CIA" Perajurit Okt 1995 Jld III; 58-59
15.Ali, Shaharudin. "Peranan Perisikan dalam Negara dan Pertahanan Negara - Bahagian 1". Perajurit Sept 1995 Jld III; 52-53
16."Perisikan & Tindakan yang Terlindung" Perajurit Mei 1997 Jld V; 26-27
17."War and Technology in the 21st Century" The Star Oct 16, 2001
18."Russian Satellite" www.fas.org/spp/military/docops/operate/doda.htm
19."Military Satellite List" www.fas.org/spp/military/program/list.htm
20." World Book Encyclopedia 2002 Deluxe Premier Version" World Book CD-ROM, 2002
21. New Gems Dictionary, Collins; London, 1971
Artikel ini asalnya di muat naik ke laman: https://web.archive.org/web/20060420133545/http://www.danchan.com/weblog/rainman
Comments