Wawancara bersama Presiden Intelek Malaysia


   Saudara sudah dikenali sebagai seorang ahli politik, mengapa mengambil pendekatan NGO sebagai wadah mendidik masyarakat mengenai bahaya rasuah?

Malaysia adalah sebuah Negara yang mengamalkan sistem demokrasi dalam pemerintahannya namun perlaksanaan masih dalam situasi yang meragukan secara keseluruhannya kerana masih terdapat jurang yang cukup ketara dalam memberikan keadilan kepada parti politik.

Justeru bukanlah satu jalan yang mudah untuk bergerak dalam sebuah parti bukan kerajaan bagi menyampaikan mesej kepada masyarakat.

Langkah menubuhkan NGO bukanlah perkara baru kerana sebelum ini saya telah pun bergerak dalam beberapa NGO ini dan ia telah membuka ruang kepada saya untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat yang prihatin kepada masyarakat dalam pelbagai aspek seperti gerakerja kebajikan dan perpaduan di antara kaum.

Saya percaya dengan pendekatan melalui NGO akan memudahkan proses penyampaikan mesej dan informasi kepada masyarakat terhadap perjuangan menegakkan integriti dan menentang rasuah dalam Negara ini.

2.    Adakan wadah NGO lebih tuntas dan berkesan bagi tujuan tersebut?

Semuanya perlu bergerak seiringan sama ada melalui wadah NGO, parti politik dan individu. Namun kadangkala persepsi yang diletakkan kepada parti politik menyebabkan langkah untuk mendekatkan diri kepada masyarakat tersekat. Maka, pada ketika itu perlunya sesuatu itu digerakkan melalui medium lain seperti NGO.

3.    Boleh ceritakan serba sedikit apakah itu Ikatan Integriti dan Transparensi Malaysia (INTELEK MALAYSIA)?

Intelek Malaysia ditubuhkan oleh sekumpulan anak muda yang prihatin terhadap masalah rasuah, ketirisan salah guna kuasa pecah amanah dan penyelewengan. Semuanya ini berpunca daripada rendahnya integriti pada individu yang diamanahkan untuk menjalankan tanggungjawabnya dengan adil sehingga memberikan kesan negatif terhadap pembangunan Negara.

IM mendokong dan memperjuangkan Negara yang bebas rasuah berasaskan nilai dan prinsip yang benar serta berusaha meruntuhkan kebatilan. Sebab itu IM berusaha untuk membentuk masyarakat Malaysia yang berintegriti dalam kehidupan tanpa pengamalan rasuah dan tiada ketirisan dalam kehidupan harian bagi mencapai matlamat membina sebuah negara maju yang bermaruah. Bagi mencapai matlamat ini, saya dan teman-teman yang prihatin dengan isu ini membentuk satu kerjasama untuk menggerakkan sebuah NGO seperti mana yang telah ditubuhkan pada hari ini.

4.    Mengapa INTELEK MALAYSIA menumpukan isu rasuah dan ketirisan dalam objektif penubuhannya?

Saya melihat bahawa isu rasuah dan ketirisan walaupun besar dan membimbangkan namun ia seperti cuba disorokkan daripada masyarakat. Isu rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan sukar untuk mendapat tempat di dalam media massa lebih-lebih lagi yang berkait dengan pemerintah.

Jika ada pun, ia dilaporkan secara umum dan sekali lalu seolah-olahnya melepaskan batuk di tangga.

5.    Boleh terangkan dengan lebih lanjut perancangan INTELEK MALAYSIA?

Perancangan awal, Intelek Malaysia akan memfokuskan kepada program kesedaran kepada umum sama ada melalui program seminar diskusi dan forum. Selain daripada itu juga, Intelek Malaysia akan memperbanyakkan penyebaran informasi melalui bahan bercetak dan penyebaran maklumat di alam maya.

IM akan mengendalikan kajian dan penyelidikan berkaitan dengan integriti terhadap institusi kerajaan, swasta dan masyarakat yang mana IM mengharapkan agar kajian-kajian ini akan dapat membantu semua pihak.    
IM juga akan menerbitkan dan mengedarkan bahan-bahan ilmiah dalam bentuk bercetak dan perkara ini mungkin akan dilaksanakan secara berperingkat memandangkan IM masih lagi baru dalam memperkembangkan bahan-bahan ilmiahnya

6.    Apakah pendekatan yang akan diambil oleh INTELEK MALAYSIA?

Pendekatan “Menerang Bukan Menyerang” adalah pendekatan yang paling sesuai untuk IM melaksanakan matlamat penubuhannya.

7.    Kriteria umum untuk menjadi ahli INTELEK MALAYSIA? Adakah ianya akan membuka keahlian secara terus kepada masyarakat umum? Bagaimana hendak mendaftar menjadi ahli INTELEK MALAYSIA?

Keahlian Intelek Malaysia dibuka kepada umum. Permohonan boleh dibuat melalui laman web IM di alamat www.intelekmalaysia.org atau email di intelekmalaysia4all@gmail.com

8.    Bagaimana saudara melihat situasi rasuah & ketirisan di Malaysia sejak akhir-akhir ini? Adakah pendekatan mendidik lebih sesuai digunakan kepada masyarakat umum tentang bahaya rasuah?

Agak menghairankan apabila isu rasuah dipandang sepi oleh sebahagian besar daripada rakyat Malaysia. Seolah-olahnya rasuah sudah menjadi perkara biasa dalam pengamalan kehidupan harian.

Apabila Tranperancy International (TI) mengumumkan bahawa kedudukan indek rasuah Negara yang dikaji melalui Indeks Persepsi Rasuah (CPI) telah menjunam ke tangga ke 60 daripada 178 negara dengan indeknya pada nilai mata 4.3 daripada keseluruhan 10 mata, ia tidak menjadi berita yang dipandang serius. Mungkin kerana isu ini tidak mendapat liputan di dalam media arus perdana sehingga menyebabkan rakyat cuba dielakkan daripada membicarakannya.

Laporan Audit Negara sejak beberapa tahun terakhir ini telah membuktikan berlakunya ketirisan yang menakutkan banyak pihak. Wang Negara diuruskan dengan sewenang-wenangnya sehingga ketirisan yang luar biasa berlaku namun ia tidak dilihat sebagai perkara yang serius untuk diberikan perhatian.

9.    Dari manakah INTELEK MALAYSIA mendapat dana untuk bergerak?

Tiada dana khas diperuntukan kepada Intelek buat masa ini. Saya bercadang untuk memperbanyakkan aktiviti yang berbentuk kerjasama (joint venture) dengan pelbagai pihak.

10.  Apakah harapan yang diletakkan terhadap Intelek Malaysia?

Perkara yang paling utama dalam perjuangan IM ini adalah membina kesedaran kepada masyarakat dan merealisasikan budaya integriti kepada semua pihak kerana pengukuhan integriti mampu untuk mengekang penyalahgunaan kuasa ketirisan rasuah pecah amanah dan yang seumpamanya.

Justeru saya berharap dan berdoa agar saya dan teman-teman seperjuangan di dalam IM ini akan terus cekal dan kekal untuk melaksanakan perjuangan ini kerana apabila rasuah ditentang maka sudah pasti mereka yang terlibat dengan rasuah akan menghadapi ketidakselesaan.

Membina Negara Berintegriti dan Telus

Comments

Popular Posts